Thursday, 29 November 2012

KATA-KATA IMAM Al-GHAZALI


1. Apakah yang paling dekat dengan diri kita didunia.
Yang paling dekat dengan kita adalah MATI. "Sebab itu janji Allah bahawa yang hidup pasti akan mati" (Surah Ali Imran :185)

2. Apakah yang paling jauh dengan diri kita didunia.
Yang paling jauh dari kita jauh adalah MASA LALU. Walau dengan apa sekalipun kita tak akan dapat kembali kemasa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, esok dan 
hari-hari mendatang dengan perbuatan yang bersesuaian dengan Agama.

3. Apa yang paling besar didunia ini.
Yang paling besar didunia ini adalah HAWA NAFSU. "Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu membawa kita ke Neraka." (Surah Al A'raf: 179)

4. Apakah yang paling berat didunia.
Yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH. "Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung ganang dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah s.n.w meminta mereka menjadi (khalifah)pemimpin didunia ini.Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupinya dan sehingga ramai manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah" (Surah Al-Azab :72).

5. Apakah yang paling ringan didunia.
Yang paling ringan didunia adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita dengan mudah meninggalkan solat.

6. Apakah yang paling tajam didunia.
Yang paling tajam didunia adalah LIDAH. Kerana dengan lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Wednesday, 28 November 2012

PENGERTIAN DOA

JANGANLAH KERANA KELAMBATAN MASA PEMBERIAN TUHAN KEPADA KAMU, PADAHAL KAMU TELAH BERSUNGGUH-SUNGGUH BERDOA, MEMBUAT KAMU BERPUTUS ASA, SEBAB ALLAH  MENJAMIN UNTUK MENERIMA SEMUA DOA, MENURUT APA YANG DIPILIH-NYA  UNTUK KAMU, TIDAK MENURUT  KEHENDAK KAMU, DAN PADA WAKTU YANG DITENTUKAN-NYA, TIDAK PADA WAKTU YANG KAMU TENTUKAN.

Apabila kita berkehendak mendapatkan sesuatu sama ada duniawi mahupun ukhrawi maka kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Jika usaha kita tidak mampu memperolehinya kita akan meminta pertolongan daripada orang yang mempunyai kuasa. Jika mereka juga tidak mampu membantu kita untuk mencapai hajat kita maka kita akan memohon pertolongan daripada Allah s.w.t,  menadah tangan ke langit sambil air mata bercucuran dan suara yang merayu-rayu menyatakan hajat kepada-Nya. Selagi hajat kita belum tercapai selagi itulah kita bermohon dengan sepenuh hati. Tidak ada kesukaran bagi Allah s.w.t untuk memenuhi hajat kita. Sekiranya Dia mengurniakan kepada kita semua khazanah yang ada di dalam bumi dan langit maka pemberian-Nya itu tidak sedikit pun mengurangi kekayaan-Nya. Andainya Allah s.w.t menahan dari memberi maka tindakan demikian tidak sedikit pun menambahkan kekayaan dan kemuliaan-Nya. Jadi, dalam soal memberi atau menahan tidak sedikit pun memberi kesan kepada ketuhanan Allah s.w.t. Ketuhanan-Nya adalah mutlak tidak sedikit pun terikat dengan kehendak, doa dan amalan hamba-hamba-Nya.

Dan Allah berkuasa melakukan apa yang di kehendaki-Nya. ( Ayat 27 : Surah Ibrahim )

Semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya. ( Ayat 116 : Surah al-Baqarah ) 
Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak. ( Ayat 23 : Surah al-Anbiyaa’ )

Sebahagian besar daripada kita tidak sedar bahawa kita mensyirikkan Allah s.w.t dengan doa dan amalan kita. Kita jadikan doa dan amalan sebagai kuasa penentu atau setidak-tidaknya kita menganggapnya sebagai mempunyai kuasa tawar menawar dengan Tuhan, seolah-olah kita berkata, “Wahai Tuhan! Aku sudah membuat tuntutan maka Engkau wajib memenuhinya. Aku  sudah beramal maka Engkau wajib membayar upahnya!” Siapakah yang berkedudukan sebagai Tuhan, kita atau Allah s.w.t? Sekiranya kita tahu bahawa diri kita ini adalah hamba maka berlagaklah sebagai hamba dan jagalah sopan santun terhadap Tuan kepada sekalian hamba-hamba. Hak hamba ialah rela dengan apa juga keputusan dan pemberian Tuannya.
 Doa adalah penyerahan bukan tuntutan. Kita telah berusaha tetapi gagal. Kita telah meminta pertolongan makhluk tetapi itu juga gagal. Apa lagi pilihan yang masih ada kecuali menyerahkan segala urusan kepada Tuhan yang di Tangan-Nya terletak segala perkara. Serahkan kepada Allah s.w.t dan tanyalah kepada diri sendiri mengapa Tuhan menahan kita dari memperolehi apa yang kita hajatkan? Apakah tidak mungkin apa yang kita inginkan itu boleh mendatangkan mudarat kepada diri kita sendiri, hingga lantaran itu Allah s.w.t Yang Maha Penyayang menahannya daripada sampai kepada kita? Bukankah Dia Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang lagi Maha Mengetahui.

Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan Tadbiran-Nya, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya. ( Ayat 14 : Surah al-Mulk )
Dialah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dialah jua) yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Ayat 18 : Surah at-Taghaabun )
Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansuhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? ( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )

Allah s.w.t Maha Halus (Maha Terperinci/Detail), Maha Mengerti dan Maha Mengetahui yang ghaib dan yang nyata. Allah s.w.t yang bersifat demikian menentukan buat diri-Nya yang apa sahaja yang Dia mansuhkan digantikannya dengan yang lebih baik atau yang sama baik. Dia boleh berbuat demikian kerana Dia tidak bersekutu dengan sesiapa pun dan Dia Maha Berkuasa.
 
Seseorang hamba sentiasa berhajat kepada pertolongan Tuhan. Apa yang dihajatinya disampaikannya kepada Tuhan. Semakin banyak hajatnya semakin banyak pula doa yang disampaikannya kepada Tuhan. Kadang-kadang berlaku satu permintaan  berlawanan dengan permintaan yang lain atau satu permintaan itu menghalang permintaan yang lain. Manusia hanya melihat kepada satu doa tetapi Allah s.w.t menerima kedatangan semua doa dari satu orang manusia itu. Manusia yang dikuasai oleh kalbu jiwanya berbalik-balik dan keinginan serta hajatnya tidak menetap. Tuhan yang menguasai segala perkara tidak berubah-ubah. Manusia yang telah meminta satu kebaikan boleh meminta pula sesuatu yang tidak baik atau kurang baik. Tuhan yang menentukan yang terbaik untuk hamba-Nya tidak berubah kehendak-Nya. Dia telah menetapkan buat Diri-Nya:

Bertanyalah (wahai Muhammad): “Hak milik siapakah segala yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah: “(Semuanya itu) adalah milik Allah! Ia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat.” (Ayat 12 : Surah al-An’aam )

Orang yang beriman selalu mendoakan:
“Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab  neraka”. ( Ayat 201 : Surah al-Baqarah )

Hamba yang mendapat rahmat dari Allah s.w.t diterima doa di atas dan doa tersebut menjadi induk kepada segala doa-doanya. Doa yang telah diterima oleh Allah s.w.t menapis doa-doa yang lain. Jika kemudiannya si hamba meminta sesuatu yang mendatangkan kebaikan hanya kepada penghidupan dunia sahaja, tidak untuk akhirat dan tidak menyelamatkannya dari api neraka, maka doa induk itu menahan doa yang datang kemudian. Hamba itu dipelihara daripada didatangi oleh sesuatu yang menggerakkannya ke arah yang ditunjukkan oleh doa induk itu. Jika permintaannya sesuai dengan doa induk itu dia dipermudahkan mendapat apa yang dimintanya itu.

Oleh sebab itu doa adalah penyerahan kepada Yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui. Menghadaplah kepada-Nya dan berserah diri kepada-Nya serta ucapkan, “Wahai Tuhanku Yang Maha Lemah-lembut, Maha Mengasihani, Maha Mengetahui, Maha Bijaksana! Daku adalah hamba yang bersifat tergopoh gapah, lemah dan jahil. Daku mempunyai hajat  tetapi daku tidak mengetahui kesannya bagiku, sedangkan Engkau Maha Mengetahui. Sekiranya hajatku ini baik kesannya bagi dunia dan akhiratku dan melindungiku dari api neraka maka kurniakan ia kepadaku pada saat yang baik bagiku menerimanya. Jika kesudahannya buruk bagi dunia dan akhiratku dan mendorongku ke neraka, maka jauhkan ia daripadaku dan cabutkanlah keinginanku terhadapnya. Sesungguhnya Engkaulah Tuhanku Yang Maha Mengerti dan Maha Berdiri Dengan Sendiri”.

Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan dengan-Nya. { Ayat 68 : Surah al-Qasas }

KISAH PEMBUNUHAN SAYYIDINA UMAR

Beberapa hari sebelum terjadinya peristiwa yang menyayat hati ini, Abu Lu'luah seorang Majusi telah bertemu dengan beliau dan mengadu mengenai jumlah kharaj(macam cukai) yang dikenakan ke atasnya untuk dijelaskan kepada tuannya iaitu Mughirah bin Syu'bah agak tinggi. Kadar jumlah yang terpaksa dibayar ialah 4 dirham setiap hari yang mana Sayyidina Umar yang mendengar pengaduan ini mengatakan bahawa jumlah itu agak bersesuaian dan tidak terlalu membebankan. Ini berdasarkan kepada pendapatnya hasil daripada beberapa kerja yang dilakukan. Sebenarnya Sayyidina Umar memang boleh mempertimbang- kan rayuannya itu sebagaimana beliau berbuat demikian dengan mereka yang lain tetapi beliau tetap dengan pendiriannya bahawa kadar yang dikenakan tidak membebankan Abu Lu'luah. Apabila rayuannya itu tidak diterima oleh Sayyidina Umar maka dia terys berlalu dari situ dalam keadaan marah dan penuh perasaan dendam. Dia berniat dalam hati untuk membunuh Sayyidina Umar dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakan niat jahatnya itu. 

Akhirnya Sayyidina Umar mendapat berita mengenai niat jahat yang ingin dilakukan oleh Abu Lu'luah terhadap beliau. Beliau meminta pandangan Sayyidina Ali mengenai perkara ini lalu Sayyidina Ali berkata : "Adakah perlu kami mengawal engkau wahai Amirul Mukminin?". Jawab Sayyidina Umar dengan tegas : "Cukuplah Allah sebagai pengawal". Beliau tidak melantik pengawal khas bagi mengawal beliau daripada sebarang kemungkinan yang akan berlaku kerana beliau bimbang tindakan ini akan diikuti oleh khalifah selepas beliau nanti. Jika perkara ini berlaku akan menyebabkan orang yang dizalimi tidak lagi mampu menemui khalifah bagi mengadu sebarang masalah dengan mudah dan tidak payah melepasi pengawal terlebih dahulu. 

Pada suatu hari ketika Sayyidina Umar bersama para sahabat yang lain ingin mendirikan solat Subuh, Abu Lu'luah turut sama masuk ke masjid dan berada dicelah-celah para sahabat yang lain. Dia membawa pisau yang bermata dua dan terus mara menuju ke arah Sayyidina Umar. Apabila telah hampir maka dia terus meluru ke arah Sayyidina Umar lalu menikamnya sebanyak enam tikaman yang mana antara sala satunya terkena dibahagian perut Sayyidina Umar. Tikaman di bahagian perut inilah yang menyebabkan Sayyidina Umar gugur syahid. Setelah menikam Sayyidina Umar, Abu Lu'luah cuba lari tetapi ditahan oleh para sahabat yang lain. Apabila ditahan menyebabkan dia terus menggunakan pisaunya untuk menikam mereka yang cuba menangkapnya. Ini menyebabkan sebelas atau tiga belas orang sahabat gugur syahid dan yang lain ramai yang luka. Namun begitu para sahabat cuba juga untuk manangkap penjenayah yang kejam itu dan akhirnya Abdullah bin 'Auf az-Zuhri berjaya memegang bajunya dan terus menariknya sehingga dia rebah di atas lantai. Melihat dirinya telah terkepong dan tertangkap maka dia terus membunuh dirinya sendiri dengan menggunakan pisau ditangannya. Selepas itu Abdullah bin 'Auf terus memenggalkan kepala penjenayah itu. 
Berbalik kepada keadaan Sayyidina Umar di mana beliau terus rebah setelah ditikam. Para muslimin yang berada di situ terus memangku beliau dalam keadaan penuh kebimbangan. Beliau menyeru :" Adalah di kalangan kamu ini Abdul Rahman bin 'Auf?". Para muslimin menyahut : " Ya! ada wahai Amirul Mukminin". Beliau berkata :"Katakanlah kepadanya agar mengimamkan para muslimin dalam menunaikan solat Subuh!. Ia merupakan solat fardhu yang diwajibkan ketika ini". Inilah dia Sayyidina Umar yang begitu mementingkan kewajipan terhadap Allah daripada dirinya sendiri yang sedang berada dalam keadaan parah ketika itu. Adakah layak penganut syiah mengatakan bahawa beliau merupakan ahli neraka?. Siapaka mereka berbanding Sayyidina Umar?. 

Lalu Abdul Rahman bin 'Auf mengimamkan para muslimin dalam solat Subuh pada pagi itu. Manakala Abdullah bin Abbas bersama beberapa orang muslimin yang lain sibuk menguruskan Sayyidina Umar sehinggalah beliau diusung masuk ke rumahnya dan beliau ketika itu berada dalam keadaan koma. Setelah pagi telah meninggi maka beliau yang telah sedar daripada koma terus bertanya kepada para muslimin dikelilingnya : Adakah para muslimin telah mendirikan solat?". Jawab Ibnu Abbas :" Ya!". Kata Sayyidina Umar :" Tidak Islam bagi orang yang meninggal solat". Selepas itu beliau terus berwudhu' dan solat. Setelah selesai solat beliau terus berkata :" Wahai Abdullah bin Abbas! keluar dan tanya tentang siapakah yang cuba membunuhku?. Abdullah bin Abbas terus keluar dari rumah Sayyidina Umar dan bertanya mereka yang ditemuinya : " Siapakah yang menikam Amirul Mukminin?". Mereka memberitahu bahawa Abu Lu'luah yang telah melakukan perbuatan yang kejam itu terhadap Sayyidina Umar. Mendengar jawapan itu, lalu Abdullah bin Abbas terus kembali semula kepada Sayyidina Umar dan memberitahu beliau tentang orang yang menikamnya. Mendengar jawapan itu maka Sayyidina Umar terus berkata : " Alhamdulillah aku bersyukur kepada Allah yang mana tidak menjadikan orang yang menikamku sebagai orang yang akan mendakwaku di hadapan Allah nanti dengan tempat sujud yang disujudnya bagiNya sahaja". Maksud kata-kata beliau ialah beliau berasa lega kerana orang yang menikamnya bukan daripada kalangan muslim yang tidak berpuas hati dengannya. 

Beliau memanggil ahli perubatan pada masa itu yang mana ramai daripada kalangan mereka yang berada di Madinah datang untuk merawatnya. Mereka menyatakan bahawa kecederaan yang dihadapi oleh Sayyidina Umar agak parah dan tidak mampu dirawat lagi. Mendengar kata-kata ahli perubatan itu maka para muslimin berasa begitu sedih dan menangis kerana tidak lama lagi mereka akan berpisah dengan pemimpin yang adil dan tegas itu. Mendengar tangisan itu lalu beliau terus menegahnya. Ketika beliau meminum susu maka beliau dapat melihat bagaimana air susu yang putih itu keluar daripada kesan lukanya. Beliau merasa sudah sampai masanya untuk menemui Allah Tuhan Penciptanya. Beliau memandang kepada muslimin sekelilingnya lalu berpesan agar mereka bertaqwa kepada Allah dan mendirikan solat serta bersikap adil kepada rakyat. 

Dalam keadaan yang sugul itu para muslimin mencadangkan agar beliau menentukan khalifah selepasnya. Beliau menjawab kepada mereka :" Aku tidak akan membuatnya maka sesungguhnya orang yang lebih mulia daripadaku telah meninggalkan urusan ini(pemilihan) kepada muslimin maka Rasulullah S.A.W sendiri meninggalkan urusan ini. Sekiranya aku membuat pemilihan maka aku akan memilih orang yang lebih baik daripadaku iaitu Sayyidina Abu Bakar. Jika Abu Ubaidah bin Jarrah masih hidup(syahid dalam peperangan Mu'tah) nescaya aku akan melantiknya.Jika Salim maula Abu Huzaifah masih hidup nescaya aku akan melantiknya". Kemudian beliau memanggil Abdul Rahman bin 'Auf lalu berkata :"Aku mahu memberi sumpah setia kepadamu". Mendengar kata-kata Sayyidina Umar itu lalu Abdullah bin 'Auf bertanya :" Adakah engkau telah bermesyuarat dalam perkara ini?. Jawab beliau :"Demi Allah aku belum lagi berbuat demikian". Kata Abdul Rahman bin 'Auf :"Demi Allah aku tidak masuk campur dalam masaalh ini selama-lamanya". Perintah beliau :" Carilah kata putus sehingga aku boleh melantik daripada kalangan mereka yang telah dipilih oleh Rasulullah S.A.W yang mana baginda redha dengan mereka". Abdul Rahman bin 'Auf terus memanggil Sayyidina Ali, Sayyidina Uthman, Zubair bin al-Awwam dan Sa'ad bin al-Waqas. Dia berkata :" Tunggulah kehadiran saudaramu Talhah yang mana dia sekarang berada di luar Madinah dan jika tidak maka laksanakan urusan kamu". Dari sini kita dapat fahami bahawa masalah kepimpinan ini merupakan perkara yang besar dan tidak boleh dipandang ringan. Ia juga menunjukkan bahawa kepimpinan ini terlibat secara langsung dengan masalah agama bukannya sebagaimana dakwaan sesat golongan sekular bahawa agama suku politik suku. Jika benar dakwaan mereka mengapa masalah ini ditekankan oleh muslimin dan juga Sayyidina Umar yang berada dalam keadaan tenat ketika itu.Kita juga dapat menyaksikan bagaimana cara pemilihan seseorang khalifah itu tidak ditetapkan oleh syarak. Oleh itu semua cara termasuk sistem monarki yang dimulai oleh Kerajaan Umawiyyah dan mereka selepasnya adalah betul selagimana tidak bercanggah dengan syarak dan tidak menggugat pelaksanaan Islam secara menyeluruh bukannya secara juzu' tertentu sahaja dengan menafikan juzu' yang lain bagi menjaga periuk nasi dan kedudukan politik seseorang pemimpin. 

Subuh hari pertama bulan Muharram tahun 22 hijrah menyaksikan kesyahduan suasana apabila Sayyidina Umar menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam usia 63 tahun iaitu sama dengan umur Rasulullah S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar ketika kewafatan keduanya. Selepas jenazah beliau selesai diurus maka Suhaib ar-Rumi telah mengimamkan para muslimin dalam menyembahyangkan jasad yang mulia ini. Beliau dikebumikan dalam bilik Sayyidatina 'Aisyah selepas mendapat keizinannya. Maqam beliau berada berhampiran maqam Rasulullah S.A.W dan Sayyidina Abu Bakar. Pada hari itu juga para ahli majlis Syura telah bermesyuarat dan sebulat suara melantik Sayyidina Uthman bin al-'Affan sebagai khalifah ar-rashid yang ketiga menggantikan Sayyidina Umar al-Khattob al-Faruq sebagai pemimpin Daulah Islamiah. 

CINTA RASUL


Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap.
Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah;
“Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertaqwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur’an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.”
Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. “Rasulullah akan meninggalkan kita semua,” keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.
Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.
Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. “Bolehkah saya masuk?” tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, “Maafkanlah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, “Siapakah itu wahai anakku?” “Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,” tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.
“Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut,” kata Rasulullah. Fatimah pun menahan ledakan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.
“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?” Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. “Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti rohmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril.
Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. “Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi. “Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?” “Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: ‘Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan roh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. “Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.” Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. “Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?” Tanya Rasulullah pada Malaikat Penghantar Wahyu itu.“Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,” kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. “Ya Allah, dahsyat rasa maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.” Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan-akan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya,“Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku” – “Peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.”
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan, “Ummatii, ummatii, ummatiii” – “Umatku, umatku, umatku…” Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.
Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma solli ‘ala Muhammad wa baarik wa salim ‘alaihi… Betapa cintanya Rasulullah kepada kita. Cintailah Rasulullah dengan manunaikan semua ajaranya dan pebanyakanlah berselawat kepadanya mudah-mudahan kita termasuk di kalangan orang-orang yg Rasulullah mengaku sebagai umatnya.

Tuesday, 27 November 2012

Kasih Sayang Sesama Muslim

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:

“Tidak sempurna iman seseorang itu selagi ia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.”-Riwayat Bukhari da Muslim

Demikianlah keindahan Islam. Jauh dari unsur mementingkan diri atau nafsi-nafsi sehinggakan kasih sesama saudara diletakkan sebagai syarat kesempurnaan iman.

Sebagai tanda kasih sayang sesama muslim, jangan kita lupa nasib saudara-saudara kita nun jauh disana sedang disembelih oleh puak kafir laknatullah.

Disaat kita lena dibuai mimpi, malam mereka dihujani dengan bom2 yg tiada mengenal batas usia.


Marilaha kita sama-sama mendoakan kemenangan kepada pejuang-pejuang islam khususnya di Palestin dan umumnya kepada semua pejuang-pejuang islam demi memartabatkan islam di atas muka bumi Allah ini... Aminnn




Monday, 26 November 2012

KETEGUHAN BENTENG TAKDIR


Kalam Hikmat yang pertama menyentuh tentang hakikat amal yang membawa kepada pengertian tentang amal zahir dan amal batin. Ia mengajak kita memerhatikan amal batin (suasana hati) berhubung dengan amal zahir yang kita lakukan. Sebagai manusia biasa hati kita cenderung untuk menaruh harapan dan meletakkan pergantungan kepada keberkesanan amal zahir. Hikmat kedua memperjelaskan mengenainya dengan membuka pandangan kita kepada suasana asbab dan tajrid. Bersandar kepada amal terjadi kerana seseorang itu melihat kepada keberkesanan sebab dalam melahirkan akibat. Apabila terlepas daripada waham sebab musabab baharulah seseorang itu masuk kepada suasana tajrid.
  
Dua Hikmat yang lalu telah memberi pendidikan yang halus kepada jiwa. Seseorang itu mendapat kefahaman bahawa bersandar kepada amal bukanlah jalannya. Pengertian yang demikian melahirkan kecenderungan untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Sikap menyerah tanpa persediaan kerohanian boleh menggoncangkan iman. Agar orang yang sedang meninggi semangatnya tidak terkeliru memilih jalan, dia diberi pengertian mengenai  kedudukan asbab dan tajrid. Pemahaman tentang makam asbab dan tajrid membuat seseorang mendidik jiwanya agar menyerah kepada Allah s.w.t dengan cara yang betul dan selamat bukan menyerah dengan cara yang melulu.

Hikmat ke tiga ini pula mengajak kita merenung kepada kekuatan benteng takdir yang memagar segala sesuatu. Ketika membincangkan tentang ahli tajrid, kita dapati ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Tuhan yang meletakkan keberkesanan kepada sesuatu sebab dan menetapkannya dalam melahirkan akibat Ini bermakna semua kejadian dan segala hukum mengenai sesuatu perkara berada di dalam pentadbiran Allah s.w.t. Dia yang menguasai, mengatur dan mengurus setiap makhluk-Nya. Urusan ketuhanan yang menguasai, mengatur dan mengurus atau suasana pentadbiran Allah s.w.t itu dinamakan takdir. Tidak ada sesuatu yang tidak dikuasai, diatur dan diurus oleh Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada sesuatu yang tidak termasuk di dalam takdir.

Manusia terhijab daripada memandang kepada takdir kerana waham sebab musabab. Kedirian seseorang menjadi alat sebab musabab yang paling berkesan menghijab pandangan hati daripada melihat kepada takdir. Keinginan, cita-cita, angan-angan, semangat, akal fikiran dan usaha menutupi hati daripada melihat kepada kekuasaan, aturan dan urusan Tuhan. Hijab kedirian itu jika disimpulkan ia boleh dilihat sebagai hijab nafsu dan hijab akal. Nafsu yang melahirkan keinginan, cita-cita, angan-angan dan semangat. Akal menjadi tentera nafsu, menimbang, merancang dan mengadakan usaha dalam menjayakan apa yang dicetuskan oleh nafsu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang baik, akal bergerak kepada kebaikan itu. Jika nafsu inginkan sesuatu yang buruk, akal itu juga yang bergerak kepada keburukan. Dalam banyak perkara akal tunduk kepada arahan nafsu, bukan menjadi penasihat nafsu. Oleh sebab itulah di dalam menundukkan nafsu tidak boleh meminta pertolongan akal.

Dalam proses memperolehi penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t terlebih dahulu akal dan nafsu perlu ditundukkan kepada kekuatan takdir. Akal mesti mengakui kelemahannya di dalam membuka simpulan takdir. Nafsu mesti menerima hakikat kelemahan akal dalam perkara tersebut dan ikut tunduk bersama-samanya. Bila nafsu dan akal sudah tunduk baharulah hati boleh beriman dengan sebenarnya kepada takdir.

Beriman kepada takdir seharusnya melahirkan penyerahan secara berpengetahuan bukan menyerah kepada kejahilan. Orang yang jahil tentang hukum dan perjalanan takdir tidak dapat berserah diri dengan sebenarnya kepada Allah s.w.t kerana disebalik kejahilannya itulah nafsu akan menggunakan akal untuk menimbulkan keraguan terhadap Allah s.w.t. Rohani orang yang jahil dengan hakikat takdir itu  masih terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan biasa. Dia masih melihat bahawa makhluk boleh mendatangkan kesan kepada kehidupannya. Tindakan orang lain dan kejadian-kejadian sering mengacau jiwanya. Keadaan yang demikian menyebabkan dia tidak dapat bertahan untuk terus berserah diri kepada Tuhan. Sekiranya dia memahami tentang hukum dan peraturan Tuhan dalam perkara takdir tentu dia dapat bertahan dengan iman. Hadis menceritakan tentang takdir:

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, apakah iman?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian. Juga engkau beriman dengan Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya adalah dari Allah s.w.t”. { Maksud Hadis }

Pandangan kita sering keliru dalam memandang kepada takdir yang berlaku. Kita dikelirukan oleh istilah-istilah yang biasa kita dengar Kita cenderung untuk merasakan seolah-olah Allah s.w.t hanya menentukan yang asas sahaja sementara yang halus-halus ditentukan-Nya kemudian iaitu seolah-olah Dia  Melihat dan Mengkaji perkara yang berbangkit baharulah Dia membuat keputusan. Kita merasakan apabila kita berjuang dengan semangat yang gigih untuk mengubah perkara dasar yang telah Allah s.w.t tetapkan dan Dia Melihat kegigihan kita itu dan bersimpati dengan kita lalu Dia pun membuat ketentuan baharu supaya terlaksana takdir baharu yang sesuai dengan perjuangan kita. Kita merasakan kehendak dan tadbir kita berada di hadapan sementara Kehendak dan Tadbir Allah s.w.t mengikut di belakang. Anggapan dan perasaan yang demikian boleh membawa kepada kesesatan  dan kederhakaan yang besar kerana kita meletakkan diri kita pada taraf Tuhan dan Tuhan pula kita letakkan pada taraf hamba yang menurut telunjuk kita. Bagi menjauhkan diri daripada kesesatan dan kederhakaan yang besar itu kita perlu sangat memahami soal sunnatullah atau ketentuan Allah s.w.t. Segala kejadian berlaku menurut ketentuan dan pentadbiran Allah s.w.t. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Ilmu Allah s.w.t meliputi yang awal dan yang akhir, yang azali dan yang abadi. Apa yang dizahirkan dan apa yang terjadi telah ada pada Ilmu-Nya.

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala  bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami)  sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya  yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Ayat 22 : Surah al-Hadiid)

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; - ( Ayat 1 : Surah al-Mulk )

Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah  petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); ( Ayat 3 : Surah al-A’laa)

Dan Kami jadikan bumi memancarkan mataair-mataair (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara  yang telah ditetapkan. ( Ayat 12 : Surah al-Qamar )

Segala perkara, tidak kira apa istilah  yang digunakan, adalah termasuk dalam ketentuan Allah s.w.t. Apa yang kita istilahkan sebagai perjuangan, ikhtiar, doa, kekeramatan, mukjizat dan lain-lain semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t. Pagar takdir mengelilingi segala-galanya dan tidak ada sebesar zarah pun yang mampu menembusi benteng takdir yang maha teguh. Tidak terjadi perjuangan dan ikhtiar melainkan perjuangan dan ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar takdir. Tidak berdoa orang yang berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah takdir untuknya yang sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara yang didoakan juga tidak lari daripada sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak berlaku kekeramatan dan mukjizat melainkan kekeramatan dan mukjizat itu adalah takdir yang tidak menyimpang daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak menghirup satu nafas atau berdenyut satu nadi melainkan ianya adalah takdir yang menzahirkan urusan Allah s.w.t pada azali.

Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali.

Segala perkara datangnya dari Allah s.w.t atau Dia yang mengadakan ketentuan tanpa campurtangan sesiapa pun. Segala perkara kembali kepada-Nya kerana Dialah yang mempastikan hukum ketentuan-Nya terlaksana tanpa sesiapa pun mampu menyekat urusan-Nya.
 Apabila sudah difahami bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya adalah takdir yang menurut ketentuan Allah s.w.t, maka seseorang itu tidak lagi berasa bingung sama ada mahu berikhtiar atau menyerah diri. Ikhtiar dan berserah diri sama-sama berada di dalam pagar takdir. Jika seseorang menyedari makamnya sama ada asbab atau tajrid maka dia hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya. Ahli asbab perlu berusaha dengan gigih menurut keadaan hukum sebab-akibat. Apa juga hasil yang muncul dari usahanya diterimanya dengan senang hati kerana dia tahu hasil itu juga adalah takdir yang ditadbir oleh Allah s.w.t. Jika hasilnya baik dia akan bersyukur kerana dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya dari Allah s.w.t. Jika tidak ada ketentuan baik untuknya nescaya tidak mungkin dia mendapat kebaikan. Jika hasil yang buruk pula sampai kepadanya dia akan bersabar kerana dia tahu apa yang datang kepadanya itu adalah menurut ketentuan Allah bukan tunduk kepada usaha dan ikhtiarnya. Walaupun hasil yang tidak sesuai dengan seleranya  datang kepadanya tetapi usaha baik yang dilakukannya tetap diberi pahala dan keberkatan oleh Allah s.w.t sekiranya dia bersabar dan rela dengan apa juga takdir yang sampai kepadanya itu.

Ahli tajrid pula hendaklah reda dengan suasana kehidupannya dan tetap yakin dengan jaminan Allah s.w.t. Dia tidak harus merungut jika terjadi kekurangan pada rezekinya atau kesusahan menimpanya. Suasana kehidupannya adalah takdir yang sesuai dengan apa yang Allah s.w.t tentukan. Rezeki yang sampai kepadanya adalah juga ketentuan Allah s.w.t. Jika terjadi kekurangan atau kesusahan maka ia juga masih lagi di dalam pagar takdir yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Begitu juga jika terjadi keberkatan dan kekeramatan pada dirinya dia harus melihat itu sebagai takdir yang menjadi bahagiannya.

Persoalan takdir berkait rapat dengan persoalan hakikat. Hakikat membawa pandangan daripada yang banyak kepada yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih kacang. Setelah ditanam benih yang kecil itu akan tumbuh dengan sempurna, mengeluarkan beberapa banyak buah kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula benih untuk menumbuhkan pokok-pokok kacang yang lain. Begitulah seterusnya sehingga kacang yang bermula dari satu biji benih menjadi jutaan juta kacang. Kacang yang sejuta tidak ada bezanya dengan kacang yang pertama. Benih kacang yang pertama itu bukan sahaja berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok kacang, malah ia mampu mengeluarkan semua generasi kacang sehingga hari kiamat. Ia hanya boleh mengeluarkan kacang, tidak benda lain.

Kajian akal boleh memperakui bahawa semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu zat kacang. Zat kacang pada benih pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke satu juta malah ia adalah zat yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu itulah ‘bergerak’ pada semua kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi kacang, tidak menjadi benda lain. Walaupun diperakui kewujudan zat kacang yang mengawal pertumbuhan kacang namun, zat kacang itu tidak mungkin ditemui pada mana-mana kacang. Ia tidak berupa dan tidak mendiami mana-mana kacang, tetapi ia tidak berpisah dengan mana-mana kacang. Tanpanya tidak mungkin ada kewujudan kacang. Zat kacang ini dinamakan “Hakikat Kacang”. Ia adalah suasana ketuhanan yang mentadbir dan mengawal seluruh pertumbuhan kacang dari permulaan hingga kesudahan, sampai ke hari kiamat. Hakikat Kacang inilah suasana pentadbiran Allah s.w.t yang Dia telah tentukan untuk semua kejadian kacang. Apa sahaja yang dikuasai oleh Hakikat Kacang tidak ada pilihan kecuali menjadi kacang.

Suasana pentadbiran Allah s.w.t yang mentadbir dan mengawal kewujudan keturunan manusia pula dinamakan “Hakikat Manusia” atau “Hakikat Insan”. Allah s.w.t telah menciptakan manusia yang pertama, iaitu Adam a.s menurut Hakikat Insan yang ada pada sisi-Nya. Pada kejadian Adam a.s itu telah disimpankan bakat dan keupayaan untuk melahirkan semua keturunan manusia sehingga hari kiamat. Manusia akan tetap melahirkan manusia kerana hakikat yang menguasainya adalah Hakikat Manusia.

Pada Hakikat Manusia itu ada hakikat yang menguasai satu individu manusia dan hubungkaitnya dengan segala kejadian alam yang lain. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Nabi” pasti menjadi nabi. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Wali” pasti akan menjadi wali. Suasana pentadbiran Allah s.w.t atau hakikat itu menguasai roh yang berkaitan dengannya. Roh bekerja mempamerkan segala maklumat yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Kerja roh adalah menjalankan urusan Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t.

Dan katakan: “ Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. ( Ayat 85 : Surah Al-Israa’ )

Pentadbiran Allah s.w.t menguasai roh dan mengheret roh kepada mempamerkan ketentuan-Nya yang berada pada azali. Allah s.w.t telah menentukan hakikat sesuatu sejak azali lagi. Tidak ada perubahan pada ketentuan Allah s.w.t. Segala sesuatu dikawal oleh hakikat yang pada sisi Allah s.w.t. Unta tidak boleh meminta menjadi kambing. Beruk tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia tidak boleh meminta menjadi malaikat. Segala ketentuan telah diputuskan oleh Allah s.w.t.

Awas Syirik Kecil Yang Tersembunyi

Ada sejenis syirik dinamakan syirik tersembunyi.
Ia dikatakan tersembunyi kerana kita cuai dan gagal untuk mengesannya. Rasulullah Salallahualaihiwasalam telah mengingatkan umatnya tentang bahaya syirik tersebut.

Baginda amat khuatir terhadap umat sesudahnya sebagaimana yang tercatat dalam sebuah hadiths bermaksud:
Perkara yang paling aku takuti atas umatku ialah syirik kecil.

Para sahabat bertanya: "Apakah erti syirik kecil itu, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Riak".

Sebahagian ulama berpendapat bahawa syirik ada dua jenis -syirik besar dan syirik kecil.

Imam Syamsuddin Az Zahabi dalam kitabnya Al Kabaair menyifatkan syirik itu sebagai dosa terbesar. Menyebut tentang syirik, beliau mengatakan bahawa syirik kepada ALLAH terbahagi dua itu:
Orang yang menyekutukan ALLAH dan menyembah selain daripada NYA seperti batu, matahari, bulan, Nabi, syeikh, raja dan sebagainya.

Inilah syirik yang terbesar.
Sila hayati maksud ayat-ayat berikut ini, yang bermaksud:
"Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan NYA (dengan sesuatu dan apa jua),
dan akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendaki NYA (menurut aturan syariat NYA).
(Surah An-Nisaa: 48 )

Firman NYA lagi, yang bermaksud:
"Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." (Surah Luqman: 13 )

ALLAH Subhana wa Ta'ala berfirman seterusnya, bermaksud:
"Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan ALLAH dengan sesuatu yang lain, maka sesunggunya ALLAH haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka." (Surah Al-Maaidah: 72 )

Rasulullah Salallahualaihiwasalam juga telah mengingatkan kita bahawa syirik itu adalah dosa yang terbesar. Dalam sebuah hadithsnya Baginda bersabda: "Bukankah aku telah mengingatkan kamu tentang dosa yang terbesar?"

Para sahabat menjawab: "Ya, wahai Rasulullah."
Baginda pun bersabda: "Mempersekutukan ALLAH dan derhaka kepada kedua-dua ibu bapa."

Syirik kecil atau tersembunyi pula sebahagian besar dari kita kurang prihatin padanya. Syirik yang dimaksudkan itu ialah riak dalam setiap amalan. Asas amalan yang soleh ialah ikhlas kerana ALLAH sama ada dalam solat, zakat, haji, puasa, sedekah atau sebagainya.

ALLAH Subhana wa Ta'ala telah memerintahkan kita supaya ikhlas kepada NYA sebagaiman yang telah di firmankan dalam surah Al-Khadi ayat 110 yang bermaksud:
"Sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah beliau mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah beliau mempersekutukan
sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya."

Rasulullah Salallahualaihiwasalam pernah menggambarkan kepada kita tentang orang yang menunjuk-nunjukkan amalannya.

Orang itu umpamakan seperti orang mengisi dompetnya dengan ketulan batu dan kemudian ke pasar untuk membeli sesuatu dengannya. Orang mentertawakannya dan beliau berasa malu kerana ketulan batu itu tidak memberi manfaat baginya, malah menjadi buah mulut orang.

Amalan riak itu tidak ada ganjarannya di akhirta kelak. 

ALLAH Subhana wa Ta'ala berfirman dalam surah Al-Furqan ayat 23 yang menyentuh tentang amalan riak:
"Dan KAMI hadapi segala amal yang mereka kerjakan lalu KAMI jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan."

Apa jua amal yang baik yang pernah dilakukan oleh orang-orang kafir di dunia dahulu, akan terbuang sahaja
pada hari kiamat dan tidak dapat memberikan sebarang pertolongan dengan sebab kekufuran mereka.

Rasulullah Salallahualaihiwasalam pernah menasihatkan seorang lelaki dari para sahabat, bersabdanya:
"Janganlah sekali-kali kamu menipu ALLAH."
Lantas sahabatnya itu bertanya: "Bagaimana dianggap seorang menipu ALLAH?"
Baginda pun menerangkan kepadanya bahawa hendaklah 
"kamu turut perintah ALLAH dan Rasul NYA- janganlah kamu memalingkan amalan kamu itu selain daripada ALLAH- jauhi perbuatan riak kerana ia merupakan syirik yang kecil."

Firman ALLAH Subhana wa Ta'ala, yang bermaksud:
"Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH,
Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam."
 (Surah Al-Anaam: 162 )

8 Sebab Amalan Kita Ditolak

Daripada hadith, amalan kita akan diangkat ke langit oleh Malaikat setiap hari untuk dihadapkan kepada Allah S.A.W. Sebelum sampai kepada Allah, amalan kita akan ditapis di 7 lapisan langit yang mana setiap lapisan mempunyai Malaikat yang menjaganya. Berikut ialah sebab-sebab amalan kita tidak diterima di setiap lapisan langit:

1. Lapisan Langit Pertama: Mengumpat.
2. Lapisan Langit Ke-2 : Amalan untuk keuntungan dunia semata-mata.
3. Lapisan Langit Ke-3 : Sombong atau takabbur.
4. Lapisan Langit Ke-4 : Ujub.
5. Lapisan Langit Ke-5 : Dengki.
6. Lapisan Langit Ke-6 : Tidak berbelas kasihan kepada orang lain.
7. Lapisan Langit Ke-7 : Riak.

๑๑ Menurut Imam Al-Ghazali, riak boleh berlaku dalam 12 perkara iaitu: ๑๑

1. Riak dalam ibadat.
2. Riak dalam ilmu.
3. Riak dalam amalan.
4. Riak dalam kata-kata.
5. Riak bila berzuhud.
6. Riak dengan harta.
7. Riak kerana pangkat.
8. Riak dengan pencapaian.
9. Riak dengan kebolehan.
10. Riak dengan kecantikan tubuh badan.
11. Riak dengan suara yang lunak merdu.
12. Riak dengan kumpulan yang disertai.

Akhir sekali, apabila amalan yang dihadapkan kepada Allah melepasi kesemua 7 lapisan langit, ada satu lagi sebab mengapa amalan kita ditolak oleh Allah S.A.W. Sebab amalan kita ditolak setelah melepasi 7 lapisan langit ialah amalan yang tidak disertai keikhlasan.

Sama-samalah kita bermuhasabah diri. Jadikan petikan hadith ini sebagai peringatan dan panduan dalam kehidupan seharian kita.

Tanda-tanda Bergantung Kepada Amalan


Kata Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari R.A yang bermaksud : 

Setengah daripada alamat orang yang bergantung(bersandar) atas amal itu ialah kurang harapannya apabila melakukan kesalahan(maksiat). 

Terjemahannya oleh Tok Pulau Manis 

Sebahagian daripada tanda-tanda hamba Allah yang bersandar dirinya pada kekuatan amal usahanya ialah berkurangnya pengharapan terhadap rahmat kurnia Allah dan apabila mereka membuat sesuatu kesalahan atau dosa disisi Allah dan akan sempurna harapannya kepada Allah apabila beliau banyak melakukan ketaatan. Adalah yang demikian itu hal segala orang yang jahil yang menilik bagi dirinya berbuat amal dan orang-orang-orang Arif tiada sekali-kali menilik dirinya berbuat sesuatu amalan.

Adalah segala hal manusia itu terbahagi kepada beberapa bahagi seperti di bawah:

Yang pertamanya ialah golongan yang bersandar atas amalan yang mereka lakukan dan alamatnya ialah berkurangan harapannnya kepada Allah apabila tiada hasil baginya apa yang dimaksudkan seperti untuk memperolehi sesuatu perkara yang luar biasa daripada amalan-amalan dan ibadat yang dilakukan.

Yang keduanya ialah mereka yang bersandar kepada anugerah taufik dan hidayah daripada Allah dan alamatnya ialah sentiasa rujuk (melihat kehendak dan kekuasaan Allah) kepada Allah sama ada dalam nikmat kesukaan atau bala(kesakitan). Apabila mereka suka mereka berkata Alhamdulillah dan bersyukur kepadanya dan apabila duka (ditimpa dbencana) kepada Allahlah mereka minta tolong dan berlindung.

Yang ketiganya ialah mereka yang bersandar atas bahagian yang telah terdahulu iaitu apa-apa yang telah ditentukan pada azali lagi. Alamatnya ialah tiada gundah(bimbang) dengan ketiadaan asbab(seperti makan atau pekerjaan). Maka tiadalah bertambah harapanya kerana sesuatu dan tiada kurang harapannya kerana sesuatu. Sama sahaja ada dan tiada sesuatu dan jikalau ditimbang harapan dan takutnya nescaya bersamaan dalam tiap-tiap waktu dan hal malahan mereka ini sentiasa SUKA DENGAN ALLAH.

Kata setengah daripada kaum sufiah adalah golongan yang ketiga itu ialah mereka yang menyerahkan dirinya dan diam dibawah perintah segala hukum Allah iaitu mereka yang sentiasa menilik dan musyahadah kepada fi'li(perbuatan) Allah dan FANA daripada dirinya.

Berkata pula setangah daripada orang-orang MUHAQQIQIN R.A, barangsiapa yang sampai kepada HAKIKAT ISLAM (pengakuan zohir) maka tidaklah kuasa dia daripada berhenti untuk sentiasa melakukan amal dan ibadat dan barangsiapa samapai kepada HAKIKAT IMAN maka tiadalah berupaya untuk berpaling(lari) daripada amal dan ibadat dan barangsiapa sampai kepada HAKIKAT IHSAN maka tiadalah kuasa dia berpaling kepada sesuatu lain daripada Allah(sentiasa musyahadah dengan Allah).

Berkata pula pengarang kitab Hikam : 

Ketahui olehmu wahai Salik !!.

bahawasanya adab kepada orang yang AHLI THORIQ dalam sesuatu waktu(detik/saat) itu boleh jadi

ADAB AL-SYARIAT dan dalam sesuatu waktu boleh jadi
ADAB-AL-HIKMAT dan sesuatu waktu yang lain boleh jadi
ADAB-AL-HAQ.

Maka maksud ADAB-AL-SYARIAT itu ialah berdiri yakni buat amal dan menunaikannya mengikut kehendak hukum syarak. Ini adalah langkah permulaan bagi segala orang yang menjalani jalan menuju kepada Allah.

Maka maksud ADAB-AL-KHIDMAT ialah fana(hilang/hapus) daripada melihat segala amalan yang dikejakannya dan tiadalah mereka memandang kepada yang demikian itu melainkan kepada anugerah Allah Taala jua kerana bagi oarang yang dalam makam ahli khidmat, WAJIB bagi mereka tidak bersandar di atas amalan yang mereka kerjakan.

Maksud ADAB-AL-HAQ ialah seperti "kuketahui barang yang bagimu dan barang yang hak Allah. (hilang dan tenggelam jiwanya dalam lautan musyahadah dengan Allah). Inilah makam atau kedudukan orang yang AHLI TAHKIQ kerana hamba itu apabila mengenal ia hakikat sifat-sifat hamba iaitu FAKIR, DHOIF, LEMAH, HINA dan KURANG di samping mengenal suatu yang tuhannya yang bersifat dengan GHONI(KAYA), QAWI(KUAT/KUASA), QADIR(PEKEHENDAK), 'AZIZ(MULIA) DAN KAMALAT(KESEMPURNAAN).... maka hamba yang ahli-tahkiq ini fanalah ia daripada tiap-tiap barang yang lain daripada Allah. (tidak nampak susautu ini melainkan melihat akan kewujudan Allah yang MAHA SEMPURNA). 

INILAH... bagi hamba-hamba pilihan yang berupaya melihat akan kamalat kudrat tuhannya kerana bahawasanya barangsiapa tiada melihat akan kamalat kudrat tuhannya dalam MAKRIFAT maka gugurlah(turun) ia makam atau keadaan yang sempurna (INSANUL KAMIL). Maka apabila telah engkau lihat akan kamalat kudrat tuhamnu maka fanalah engkau daripada tiap-tiap perkara yang lain daripadaNya. Sesungguhnya hendaklah engkau ketahui bahawasanya kehendak Allah daripamu dalam tiap-tiap hal dan tiap-tiap perkataan dan tiap-tiapa makam.

INILAH... kesudahan-kesudahan adab kerana bahawanya yang dikehendaki oleh hak Allah ialah bahawa engkau itu tiada berdaya dan hendaklah engkau menggugurkan segala ikhtiarmu (iaitu tidak pandang dan mengira-gira) dan hendaklah engkau memutuskan kehendakmu(jangan nampak kekuasaanmu) pada tiap-tiap perkara yang Allah telah tetapkan engkau di dalamnya, sama ada di dalam Maqam Tajrid(semata-mata beribat kepada Allah tanpa memikirkan usaha) atau di dalam Maqam Asbab. 

Murshid: Doa hancurkan organisasi tidak salah




KUALA LUMPUR: Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) berpandangan berdoa untuk menghancurkan sesebuah organisasi tidak salah, jika ia membawa kebaikan.

Pengerusinya Dr Zaharuddin Abdul Rahman (gambar) berkata, doa yang menjurus kepada organisasi, bukan individu, tidak melanggar adat berdoa.

“Sekiranya doa itu dari individu yang dizalimi, maka doa untuk menghancurkan organisasi tertentu (yang bertanggungjawab) dibenarkan.

“Doa seperti menunjukkan mangsa meluahkan kekecewaan yang sudah sampai ke puncak akibat sering dizalimi,” katanya dipetik Sinar Harian.

Bagaimanapun, katanya, lebih baik mendoakan agar individu atau sesebuah organisasi itu mendapat petunjuk, dan ampunkan kesalahan mereka.

Isu doa sebelum ini timbul ekoran doa pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV sempena Muktamar PAS ke-58 baru-baru ini.

Doa yang dibaca Nik Razi Nik Mat semasa mengimamkan solat hajat itu antara lain menyebut 'Hancur BN' dan 'KO BN' pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, akhbar berbahasa Melayu itu juga turut memetik pandangan Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa umat Islam boleh memohon doa kehancuran jika merasa diri mereka ditindas dan juga dizalimi.

Beliau berkata, secara umumnya sesiapa sahaja boleh memohon doa kehancuran sekiranya merasakan diri dizalimi.

“Misal kata ada orang menganiaya atau menzalimi kita, boleh ke kita berdoa kepada mereka?

"Jawapannya boleh, tidak timbul isu tidak boleh mendoakan kehancuran sesama Islam,” katanya dipetik akhbar itu lagi.

Asri berkata, doa memohon kehancuran ini bukan suatu yang baru, malah wujud sejak zaman Rasulullah lagi apabila terjadi kepada para sahabat, tetapi dilakukan secara berkias (berlapik).